Pages

Subscribe:

12 August 2012

APAKAH TAUFIQ DAN HIDAYAH ??

TAUFIQ DAN HIDAYAH

Hidayah dan Taufiq Nikmat Yang Wajib Disyukuri dan Dipelihara


Hidayah adalah kesedaran yang dicampak ke dalam hati seseorang oleh Allah. Taufiq ialah pimpinan Allah terhadap orang yang istiqomah mengamalkan perintah yang telah disedari bahawa ia merupakan kewajibannya.


Hidayah dan Taufiq adalah intan berlian yang berbentuk maknawi dan rohani. Ia adalah berharga seperti juga intan berlian yang bersifat maddi:

1. Siapa yang memiliki Hidayah dan Taufiq dianggap kaya dan mulia.

2. Siapa yang memiliki intan berlian rohani ini (Hidayah dan Taufiq), ia merupakan orang kaya Tuhan. Ia telah mendapat segala-galanya.

3. Siapa yang memiliki Hidayah dan Taufiq, hidupnya terpimpin, akhlaknya mulia, syariatnya terjaga, imannya teguh dan bercahaya dan ia menjadi orang yang berbahagia.

Perlu diingat bahawa Hidayah dan Taufiq seperti jugalah barang yang berharga seperti emas dan intan berlian, iaitu Hidayah dan Taufiq juga boleh hilang dari kita. 


Oleh itu kenalah jaga dan dipelihara sebaik-baiknya agar ia tidak hilang dari kita. Barang yang hilang dari kita susah untuk memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas-pulas berusaha mencarinya semula.

BACA LAGI...


Kalau tidak ia akan terus hilang dari kita buat selama-lamanya. Sebab itulah Allah SWT mengingatkan kita agar sentiasa berdoa agar tidak dibolak-balikkan hati kita sehingga hilang segala Hidayah dan Taufiq.

Firman Allah dalam al-Quran:

Maksudnya: “(Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali Imran [3]: 8).


Bagaimana Menjaga dan Memelihara Hidayah dan Taufiq

Agar Hidayah dan Taufiq kekal menjadi milik kita atau tidak hilang dari kita, hendaklah:

1. Hendaklah sentiasa bersyukur terhadap nikmat Tuhan yang mengurniakan Hidayah dan Taufiq, paling berharga ini. Kita rasakan ia adalah nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.

2. Hendaklah kita sentiasa istiqomah mengamalkan segala kewajiban yang telah kita sedari bahawa ia suatu kewajiban dan tanggung jawab kita dengan bersungguh-sungguh.3. Hendaklah sentiasa rasakan dalam hati kita perasaan bimbang, kalau Allah Ta’ala ambil semula atau kalau-kalau Allah Ta’ala tarik semula Hidayah dan Taufiq itu.

Dengan itu kita sentiasa berjaga-jaga dengan penuh harap akan rahmat dan pimpinan Allah. 


4. Hendaklah juga sentiasa selawat kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW agar dengan keberkatan Baginda SAW kita dipimpin oleh Allah dan diberi syafaat di akhirat kelak.


5. Hendaklah sentiasa bermujahadah dengan penuh sabar, terutama pada waktu-waktu diuji dengan rasa malas ketika hendak berbuat kebaikan (ketaatan) dan ketika terasa ringan untuk melakukan kemungkaran, dan ingatlah ketika itu kita sedang digoda oleh nafsu dan syaitan.

6. Hendaklah sentiasa bergaul dengan kawan-kawan yang baik, kerana ia sangat membantu kita dalam menjaga syariat di dalam kehidupan seharian dan kita terasa ada kawan sehaluan dengan kita.

7. Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Ada pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat dan ilmunya dari masa ke semasa.

Oleh itu, pastikan anda ada guru yang boleh memberi pimpinan dan tunjuk ajar.


Sebab-sebab Hidayah dan Taufiq ditaraik Semula

Hidayah dan Taufiq kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula dari kita. Pada waktu itu kita akan hidup terumbang-ambing semula; tiada berdisiplin, malas beramal, ringan berbuat maksiat, jiwa jadi menderita dan sengsara, walaupun mempunyai kekayaan yang banyak dan serba-serbi yang lain ada.

Di antara sebab-sebab Hidayah dan Taufiq ditarik semula:

1. Derhaka kepada guru yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinannya.

2. Derhaka kepada kedua-dua ibu-bapa. Kita sia-siakan akan kedua-duanya. Kita biarkan ibu-bapa dan tidak mengurus dan menjaga mereka, terutamanya ketika mereka tua dan uzur, lebih-lebih lagi jika mereka marah dan rasa tidak senang dengan kita.


3. Terlalu terpengaruh dengan dunia (dunia telah masuk an bertapak dalam hati). Apabila hari kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok (hilang nikmat ibadah). Telah mula terasa berat mengerjakan kebaikan dan kebajikan, hati mula cenderung kepada maksiat dan dosa. Maka ia perlahan-lahan luntur dan dengan halal-haram tidak diambil kira hingga perasaan takut dengan Tuhan terhakis dari hati kita, lama kelamaan akan hilang semuanya.

4. Kerana menzalimi orang. Dengan sebab menzalimi, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit tercabut. Lepas itu, perasaan cuai pun dating ke dalam hati. Mula malas beribadah, kemungkaran sedikit demi sedikit berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam dalam maksiat.

5. Mula berani bergaul bebas dengan orang yang tidak menjaga syariat, kemudian terus terasa seronok dengan suasana kebebasan itu, dan terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu dan lepas itu terus leka dalam kemungkaran dan maksiat. Perasaan takut kepada Tuhan pun lenyap.

Bagaimana Membina Semula Hidayah dan Taufiq yang Telah Hilang

Antara cara untuk memelihara hidayah dan taufiq agar tidak terhakis dari kita ialah:

1. Hendaklah sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah yang tidak ternilai harganya. Kita boleh menyuluh diri kita sama ada terdapat tanda-tanda kita bersyukur atau tidak dengan perkara-perkara seperti berikut:

(1). Solat awal waktu: Hendaklah sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berdepan dengan Allah yakni persiapan menunaikan solat dengan menyediakan diri dengan lebih awal. Melambat-lambatkan solat seolah-olah tidak memandang berat akan solat itu, maka rasa syukur pun terhakis. Ketika hendak memulai solat, rasakan bahawa solat yang bakal kita kerja itu adalah solat terakhir, oleh itu lakukanlah dengan sebaik-baiknya.


(2). Elakkan diri dari maksiat: Jauhi maksiat termasuk maksiat batin, mendekatkanlah diri kita kepada syukur. Sangat perlu untuk mujahadah bagi mereka yang sudah sebati dengan maksiat seperti bergaul bebas lelaki perempuan, melihat aurat, terlibat dengan riba dan kemungkaran. Allah melarang kita dari melakukan maksiat sedangkan kita masih terasa sedap buat maksiat, bagaimana kita nak ada rasa syukur, kalau ini masih ada pada kita? Mkasiat menyebabkan hilang rasa nikmat dalam beribadah, terutama solat.

(3). Tidak menyukai mazmumah (sifat-sifat jahat dan buruk) setelah mengenali mazmumah. Ramai orang memikirkan maksiat atau kemungkaran itu hanya pada yang zahir seperti minum arak, berjudi dan berzina sahaja, tetapi tidak memikirkan mazmumah yang penting (di dalam hati) untuk di bakar dan dibuang. Sebab itu bermujahadah mengikis mazmumah adalah perlu dan dibuat secara berterusan.

2. Sentiasa banyak mengingati Akhirat. Ingatlah bahawa kita akan kembali ke kampung kita yang sebenar, ia Akhirat, dunia ini cuma tempat tinggal sementara sahaja.

3. Ingatlah, bahawa di akhirat tidak ada banyak tempat, cuma dua tempat sahaja, iaitu Syurga dan Neraka.

4. Ingatlah, bahawa di akhirat kelak kita akan dihisab (diperhetungkan) akan segala amalan kita. Yang baik dibalas dengan nikmat dalam Syurga dan yang jahat akan dibalas dengan seksa dalam Neraka.

1 comment:

Anonymous said...

Ini adalah informasi yg sering dianggap enteng tetapi amatlah penting. TQ

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tawaran Minggu Ini